27 November 2012

Buah Nadir (1)

BUAH NADIR – Asam Gelugur
(idris bald)


Asam gelugor
Buah-buahan nadir bermaksud buah-buahan yang jarang-jarang ditanam secara komersial dan semakin sukar untuk ditemui. Kebanyakannya ditanam bercampur dengan buah-buahan lain di dusun dan ada yang dijadikan sebagai pokok teduhan di halaman rumah di kampung-kampung. Selain dari itu buah-buahan nadir juga terdapat dihutan-hutan dan ada juga yang tumbuh secara liar di kawasan tanah berhampiran kita. Perkataan ‘Nadir’ itu sendiri membawa maksud sedikit atau jarang.


Asam gelugur atau lebih popular disebut asam keping memang tidak asing lagi bagi suri rumah, kerana ianya adalah bahan penting dalam masakan, terutama bagi penduduk di utara semenanjung yang terkenal
dengan masakan laksa. Ini kerana tanpa asam keping maka tidak lengkaplah masakan laksa tersebut.

Asam Gelugur (Garcinia atroviridis) yang juga disebut asam gelugo merupakan tanaman asal dan liar di hutan Semenanjung Malaysia. Asam gelugor kini tidak sahaja dipandang sebagai bahan penting dalam masakan, malah dilihat mempunyai nilai komersial termasuk dalam industri perubatan. Kini ia telah mula ditanam secara meluas terutama di utara tanahair.

Pokok asam gelugur boleh mencapai ketinggian melebihi 20 meter, buahnya berwarna hijau muda dan bertukar kekuningan apabila matang dan masam rasa dan baunya. Kebiasaannya buah dihiris dan dijemur untuk dijadikan asam keping bagi tujuan menjadikan bahan dalam masakan.

Buahnya mengandungi citric acid, tartaric acid, malic acid, ascorbic acid dan hydroxycitric acid serta flavonoids. Dari segi perubatan, dipercayai buahnya dapat mengurangkan berat badan, mengatasi masalah obesiti dan menurunkan tahap kolestrol.

2 comments:

  1. Info yang berguna. T.Kasih.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas maklum balas anda. Saya rasa banyak lagi buah-buahan yang jarang kita jumpai.Jika terjumpa, harap dapat kongsi maklumat bersama.

    ReplyDelete